Saturday, January 19, 2008

Kata Saya: Pembuli siber sanggup gadai maruah mangsa

TATKALA ibu bapa dan keluarga adik Sharlinie bersedih kerana kehilangannya, ada pihak mengambil kesempatan menghantar SMS palsu. Berikutan itu pihak berkuasa menahan seorang pembantu rumah dan seorang remaja lelaki yang hanya berusia 16 tahun. Jenayah memang tidak mengenal usia. Kita tidak pasti apa yang mendorong mereka melakukan perbuatan seumpama itu. Kecanggihan teknologi banyak memberi kemudahan kepada kita, tetapi ia juga membawa padah jika kita tidak berhati-hati. Kini anak yang baru pandai bercakap sudah didedahkan dengan kecanggihan teknologi ini sama ada telefon bimbit atau internet. Seusia tujuh tahun ibu bapa sudah membelikan anak telefon bimbit. Tujuannya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi banyak memberi kemudahan kepada ibu bapa yang bekerja untuk memantau anak mereka. Namun setakat mana mereka boleh memantau aktiviti anak jika diberikan telefon bimbit atau pendedahan internet ini.
Kita bukannya selalu berada di rumah untuk melihat apa yang dilakukan anak yang menggunakan internet. Kita tidak duduk di belakang mereka untuk melihat semua yang dilakukan. Bagi ibu bapa yang bekerja, tidak banyak masa terluang untuk memantau semua itu. Kita tidak tahu jika banyak masa mereka dihabiskan untuk ‘chatting’ atau berbalas SMS dengan rakan sama ada sahabat baik atau yang masih baru dikenali. Mungkin terlalu teruja, tanpa disedari anak dan remaja ini banyak mendedahkan maklumat diri dan keluarga kepada sahabat atau kenalan tanpa memikirkan risiko. Kesempatan inilah yang diambil oleh pembuli siber untuk memerangkap mangsa. Pembuli siber ini merujuk kepada tingkah laku antisosial dalam talian internet atau melalui telefon bimbit yang dilakukan individu atau pihak tertentu dengan tujuan mengganggu, memalukan atau mengugut mangsa. Buli ini boleh dilakukan melalui pesanan teks telefon sel, e-mel, mesej segera, blog, rangkaian sosial dan laman web.

No comments: